Alba yakin Sepanyol mampu atasi tekanan

SEVILLE, 20 JUN – Jordi Alba mengakui pemain-pemain Sepanyol ‘kecewa’ selepas mencatat keputusan seri 1-1 menentang Poland tetapi percaya mereka mampu menundukkan Slovakia pada Rabu dan mara ke kelompok 16 terakhir saingan Euro 2020.

Tandukan penyerang Robert Lewandowski berjaya menyamakan kedudukan selepas Alvaro Morata membuka jaringan di Seville sebelum Gerard Moreno terlepas peluang menjaringkan gol melalui sepakan penalti ketika Sepanyol sekali lagi mencatat keputusan mengecewakan terikat seri di Kumpulan E.

“Kami sedikit kurang bernasib baik,” kata Alba.

“Kami bermain dengan baik dan kami akan berusaha mengubah kedudukan, saya sangat yakin.

“Tiada sesiapa yang mempersoalkan usaha kami. Orang ramai boleh mempersalahkan kami tetapi intensiti, motivasi yang dimiliki pemain, itu tidak boleh dipersoalkan.

Reaksi Alvaro Morata meraikan gol bersama Jordi Alba semasa pertemuan menentang Poland, baru-baru ini. – AP

“Kami merasa kecewa dengan keputusan yang diraih tetapi kami tidak mempunyai pilihan lain selain berusaha dan saya pasti keputusan akan menyebelahi kami. Pada Rabu, kami akan bermain satu lagi perlawanan, yang terakhir, dan kami akan memberikan segala-galanya untuk cuba mara ke pusingan seterusnya.”

Kemenangan Sweden ke atas Slovakia pada Jumaat bermakna Sepanyol kini menghuni kedudukan ketiga dalam kumpulan, dengan Slovakia turut berada di hadapan mereka selepas kemenangan di perlawanan pembukaan menentang Poland.

“Saya sudah terbiasa dengan tekanan seperti ini,” dedah Alba. “Kami perlu merasa tenang dan saya yakin dan saya yakin kemenangan pasti akan dicapai.”

Morata berada dalam tekanan selepas dia dikecam oleh peminat sendiri dalam perlawanan berakhir dengan keputusan seri menentang Sweden.

Dia meraikan gol dengan memeluk jurulatih Luis Enrique tetapi malam tersebut bertukar malang buat penyerang tersebut ketika dikeluarkan pada lewat perlawanan setelah bertembung dengan penjaga gol Poland, Wojciech Szczesny. – AFP