Albania boikot majlis anugerah hadiah Nobel

TIRANA, 10 DIS – Albania akan memboikot majlis anugerah hadiah Nobel tahun ini sebagai memprotes keputusan kategori sastera diberikan kepada Peter Handke, yang menyangkal terlibat dalam genosid Bosnia dari 1992 hingga 1995, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan seorang pegawai Albania semalam.

Majlis itu berlangsung di Sweden pada hari ini.

“Justifikasi kekejaman perang semasa perpecahan Yugoslavia tidak harus diberikan ganjaran,” kata Gent Cakaj, Pemangku Menteri Luar Albania, di Twitter.

Beliau juga berkata pemberian anugerah kepada mereka yang menyangkal melakukan genosid  “akan hanya menguatkan penafian itu yang perlu diatasi dan dikutuk sekeras-kerasnya.”

Kemenangan penulis Austria itu dalam kategori sastera hadiah Nobel telah mencetuskan reaksi negatif di beberapa negara terutama Bosnia dan Herzegovina serta Kosovo.

Pada hari sama, Croatia turut mengumumkan bahawa ia akan memboikot majlis anugerah itu sebagai memprotes pemberiannya kepada Handke, menurut Kementerian Luar dan Hal Ehwal Eropah di Twitter.

Wartawan dan ahli akademik antarabangsa yang berhimpun di Stockholm menggesa jawatankuasa hadiah Nobel agar mengubah fikiran mereka untuk memberikan anugerah itu kepada Handke, yang mempertahankan penjenayah perang Serbia.  – Bernama

Pemenang Hadiah Nobel 2019 dalam kesusasteraan Peter Handke bercakap pada sidang media di Akademi Sweden di Stockholm, Sweden, pada 6 Disember. – AP