KUALA LUMPUR – Sebanyak 300 unit album terbaru Datuk Siti Nurhaliza, SimetriSiti, habis ditempah dalam tempoh 20 minit selepas penjualannya dibuka menerusi portal beli-belah Lazada.
Album edisi terhad itu menjadi rebutan peminat kerana nilai eksklusifnya, selain mempunyai tandatangan penyanyi popular berkenaan dan disertakan dengan poskad.
Mengulas sambutan menggalakkan yang diberikan terhadap buah tangan terbarunya itu, Siti mengakui teruja dengan berita yang diterima.
“Siti sangat bersyukur apabila album yang sekian lama dinantikan peminat dapat juga disiapkan akhirnya. Tidak dinafikan, banyak cabaran ketika menghasilkan album ini, terutama dari segi kesihatan. Siti mengalami batuk-batuk ketika sesi rakaman diadakan. Mujur Siti masih boleh meneruskan proses berkenaan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album studio ke-18.

Mengulas kenyataan Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kenny Ong, yang mengharapkan album terbabit mencapai kualiti antarabangsa dan mampu meraih banyak anugerah, Siti akui agak tertekan dengan permintaan berkenaan.
“Agak tertekan juga, tetapi tak adalah sampai Siti tidak boleh tidur malam. Siti pun memang hendak mencalonkan album ini kerana ini juga antara cara untuk menghargai mereka yang terbabit secara langsung dalam pembikinannya,” kata beliau. Album SimetriSiti yang mempertaruhkan lagu Segala Perasaan sebagai single pertama bakal berada di pasaran pada 10 Mei ini.