Alcacer bersemangat

BERLIN, 16 SEPT – Bekas pemain Barcelona Paco Alcacer yang sering memanaskan bangku simpanan ketika bersama skuad Catalan itu tekad untuk mengecewakan bekas pasukannya yang akan bertemu Borussia Dortmund dalam Liga Juara-Juara, esok.

Alcacer, 26, menyertai Dortmund pada tahun lalu selepas berdepan kesukaran untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama di Barcelona selama dua musim.

Bagaimanapun, dia menyinar ketika beraksi di Bundesliga dengan naluri pembunuhnya di jentera serangan Dortmund malah mendapat tempat bersama skuad kebangsaan Sepanyol. Penyerang itu akan bertemu Barcelona selepas menjaringkan 10 gol dalam lapan perlawanan terakhirnya.

Dia turut menjaringkan tiga gol untuk Sepanyol dalam kelayakan Euro 2020 sewaktu menumpaskan Romania dan Faroe Island, minggu lalu. “Menyeronokkan apabila dapat beraksi, mempunyai minit perlawanan dan menikmati tugas saya.

“Ini perlawanan yang istimewa. Pastinya saya akan berseronok bertemu bekas pasukan dan itu membuatkan saya mahu memberi aksi yang terbaik,” kata Alcacer. – AFP