Alcantara positif COVID-19

LIVERPOOL, 30 SEPT – Pemain tengah baharu Liverpool, Thiago Alcantara telah disahkan positif wabak koronavirus.

Pemain berusia 29 tahun, Alcantara, menyertai pasukan juara Liga Perdana Inggeris dari Bayern Munich bulan ini, akan menjalani pengasingan diri sekurang-kurangnya 10 hari seperti yang diarahkan oleh pihak berkuasa.

Pemain Sepanyol itu membuat penampilan sulung buat Liverpool dalam kemenangan 2-0 menentang Chelsea tetapi terlepas perlawanan pada Isnin di mana Liverpool mencatat kemenangan 3-1 ke atas Arsenal.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kelmarin, Liverpool tidak menyebut bila ujian itu telah dilakukan. Liga Perdana mengumumkan pada Isnin bahawa 10 orang telah dijangkiti COVID-19 selepas 1,595 pemain dan kakitangan kelab diarah menjalani ujian dalam tempoh tujuh hari bermula Ahad. Tiga kes telah dicatatkan di West Ham, termasuk pengurus mereka, David Moyes. – AP

Thiago Alcantara disahkan positif COVID-19. – AP