NEW YORK, 5 SEPT – Carlos Alcaraz mara ke suku akhir Terbuka AS kelmarin sementara kejutan mendominasi dalam kategori wanita dengan Ons Jabeur dan Jessica Pegula menjadi pemain ranking tinggi terkini yang tersingkir.
Juara bertahan Alcaraz, yang hanya tercicir satu set dalam perjalanannya ke suku akhir, mempamerkan aksi dominan untuk menewaskan pemain ranking ke-61 dunia, Matteo Arnaldi, menang 6-3, 6-3, 6-4 dalam masa 1 jam 57 minit.
Alcaraz akan menentang pilihan ke-12, Alexander Zverev pada suku akhir esok selepas finalis Terbuka AS 2020 dari Jerman itu menewaskan pilihan keenam Itali, Jannik Sinner dalam pertarungan lima set yang dipenuhi dengan kontroversi.
Zverev, yang kembali ke prestasi terbaiknya selepas kecederaan mengerikan di Terbuka Perancis tahun lalu yang memaksanya untuk berehat selama enam bulan, menewaskan Sinner 6-4, 3-6, 6-2, 4-6, 6-3 pada perlawanan itu di Stadium Arthur Ashe.

Pertarungan yang berlangsung selama 4 jam 41 minit, yang berakhir pada pukul 1:39 pagi waktu tempatan, menyaksikan insiden buruk pada set keempat apabila Zverev mengadu ‘frasa Hitler’ yang dilaungkan dari penonton ketika dia bersedia untuk membuat servis.
“Dia baru sahaja menyebut frasa Hitler yang paling terkenal di dunia ini,” kata Zverev kepada pengadil. “Ini sangat tidak masuk akal.”
Seorang peminat lelaki kemudiannya dikenal pasti sebagai individu yang didakwa bersalah dan dikeluarkan dari arena sebelum Zverev pergi untuk melakar kemenangan.
“Saya suka apabila peminat bersuara, saya suka apabila peminat beremosi tetapi saya fikir saya adalah orang Jerman, dan tidak begitu berbangga dengan sejarah itu, ia bukanlah satu perkara yang baik untuk dilakukan,” kata Zverev mengenai insiden itu selepas itu. – AFP