MADRID, 9 MEI – Pemain remaja Carlos Alcaraz meneruskan kebangkitannya apabila menewaskan Alexander Zverev dalam aksi final Madrid kelmarin dan kemudian berkata: “Saya benar-benar mahu membuktikan kemampuan saya dalam Grand Slam”.
Dua minggu sebelum bermulanya Terbuka Perancis, pemain muda Sepanyol itu menundukkan lawannya di ranking ketiga dengan 6-3, 6-1 dalam masa 62 minit untuk meneruskan kempen pertandingan yang menandakan satu era baharu.
Dia berkata dia bakal terlepas kejohanan gelanggang tanah liat di Rom minggu ini selepas mengalami kecederaan buku lali ketika menewaskan Rafael Nadal pada suku akhir Jumaat lalu.
Sebelum kejohanan Madrid tahun lalu, Alcaraz menduduki tempat ke-120 dunia. Kini dia akan mencapai nombor enam dunia.
Dia menjadi pemain suku akhir Terbuka AS termuda era Terbuka September lalu, kemudian memenangi gelaran Masters 1000 pertamanya di Miami pada awal April.
Kemenangan kelmarin membawa gelaran Masters 1000 kedua. Satu-satunya pemain muda yang mencapai kejayaan itu ialah Nadal, yang menang di Monte Carlo dan Rom ketika berusia 18 tahun.
Alcaraz berusia 19 tahun pada Khamis dan dalam tempoh dua hari berikutnya bertarung dengan Nadal dalam masa dua jam 28 minit dan Novak Djokovic dalam 3 jam 36 minit. – AFP