Alcaraz lunas dendam pada Murray

VIENNA, 28 OKT – Pemain remaja Sepanyol, Carlos Alcaraz membalas dendam kekalahan di Indian Wells kepada Andy Murray semalam untuk mara ke suku akhir acara ATP di Vienna.

Alcaraz, 16 tahun lebih muda daripada bekas pemain nombor satu dunia dan juara utama tiga kali, Murray melakar kemenangan 6-3, 6-4.

“Bagi saya ia perasaan yang hebat untuk beraksi menentang Andy Murray dan berjaya menewaskannya,” kata Alcaraz selepas perlawanan yang memaparkan 25 mata penamat dan tujuh pematah seri.

“Saya beraksi sangat baik dan saya sangat gembira dengan persembahan hari ini.”

Bulan lalu, Murray yang kini menduduki ranking 156 dunia, menewaskan lawannya itu yang berada di ranking 42 dalam permainan tiga set pada pusingan kedua kejohanan Masters di California.

“Indian Wells adalah aksi pertama kali saya berdepan Andy di gelanggang dan sekarang saya tahu serba sedikit, saya baru mengetahui corak permainannya, cara dia bermain,” kata Alcaraz.

Pemain muda Sepanyol itu akan berdepan sama ada pemain pilihan ketiga yang juga naib juara Wimbledon, Matteo Berrettini atau Nikoloz Basilashvili dari Georgia untuk menempah tempat ke separuh akhir. – AFP

Aksi Carlos Alcaraz semasa mengembalikan bola kepada Andy Murray semasa perlawanan perseorangan lelaki Terbuka Erste Bank di Vienna, Austria pada 27 Oktober 2021. – AFP