PARIS, 23 MEI – Pemain sensasi remaja Sepanyol, Carlos Alcaraz mara ke pusingan kedua Terbuka Perancis kelmarin selepas menewaskan pemain Argentina, Juan Ignacio Londero 6-4, 6-2, 6-0.
Alcaraz, 19, mempertaruhkan untuk menjadi remaja kelapan merangkul kejuaraan utama lelaki dan mengintai untuk menamatkan penguasaan juara 13 kali Roland Garros, Rafael Nadal dan pemenang dua kali Novak Djokovic.
Pilihan keenam itu, yang mara ke pusingan ketiga pada penampilan sulungnya dalam undian utama setahun lalu di Paris, akan menentang rakan senegaranya, Albert Ramos-Vinolas bagi tempat ke pusingan 32 terakhir.
“Saya telah menyaksikan kejohanan ini selama bertahun-tahun. Ia adalah tempat yang unik untuk bermain dan saya telah mengimpikan untuk bermain di sini,” kata Alcaraz.
Beliau menewaskan Londero dalam set pembukaan yang sengit pada perlawanan ke-10 , kemudian menutup perlawanan dengan memenangi dua set berikutnya di Court Philippe Chatrier.
Alcaraz, yang berada di ranking ke-97 tahun lepas, telah memenangi empat kejuaraan yang mendahului jelajah musim ini, tiga di gelanggang tanah liat di Rio, Barcelona dan Madrid di mana beliau menewaskan Nadal, Djokovic dan Alexander Zverev untuk menjulang trofi tersebut. – AFP