Alcaraz mara ke suku akhir Terbuka Perancis

PARIS, 30 MEI – Pemain remaja sensasi Sepanyol, Carlos Alcaraz mara ke suku akhir pertama Terbuka Perancis kelmarin dengan kemenangan straight set ke atas pemain Rusia, Karen Khachanov.

Pemain berusia 19 tahun itu, yang telah memenangi empat kejuaraan ATP musim ini, menang 6-1, 6-4, 6-4 dalam perlawanan sesi malam di Court Philippe Chatrier untuk menetapkan pertemuan lapan terakhir dengan pilihan ketiga, Alexander Zverev.

Alcaraz, pilihan keenam di Roland Garros, membelasah Zverev dalam final Masters Madrid awal bulan ini selepas turut menyingkirkan Novak Djokovic dan Rafael Nadal daripada kejohanan itu.

Bekas pemain suku akhir, Khachanov, dijangka memberi ujian sebenar kepada Alcaraz mengenai kelayakan gelarannya namun Khachanov gagal bangkit sepenuhnya daripada permulaan yang mengerikan yang menyaksikan dia ketinggalan 5-0 di set pertama.

Pemain Sepanyol itu mencipta 37 mata kemenangan dan melakukan 30 unforced errors ketika dia melengkapkan kemenangan dalam tiga set walaupun diberi tentangan buat dalam set ketiga.

Ia adalah kemenangan straight set kedua berturut-turut untuk Alcaraz selepas menyelamatkan mata perlawanan apabila memenangi aksi mendebarkan pusingan kedua menentang rakan senegara, Albert Ramos-Vinolas. – AFP

Aksi Carlos Alcaraz dari Sepanyol semasa perlawanan perseorangan lelaki pada hari kelapan kejohanan tenis Terbuka Roland-Garros kelmarin. – AFP