INDIAN WELLS, CALIFORNIA, 20 MAC – Carlos Alcaraz menewaskan Daniil Medvedev 6-3, 6-2 semalam untuk memenangi gelaran Terbuka BNP Paribas dan mendapatkan semula ranking nombor satu dunia.
Pemain Sepanyol berusia 19 tahun itu akan beralih kedudukan dari tangga kedua ke tangga satu dalam ranking Jelajah ATP hari ini, menggantikan Novak Djokovic. Pemain Serbia itu menarik diri dari Indian Wells sebelum kejohanan bermula apabila dia tidak dapat masuk ke AS kerana tiada vaksin.
“Bagi saya, ia adalah impian yang menjadi kenyataan sekali lagi,” kata Alcaraz. “Jelas sekali berada di hadapan pemain hebat seperti Novak, ia satu perasaan yang menakjubkan.
“Saya akan katakan ini adalah kejohanan yang sempurna,” katanya.
Dalam perlawanan akhir wanita, Elena Rybakina menewaskan Aryna Sabalenka 7-6 (11), 6-4 dan menyaksikan kekalahan kedua bagi pemain ranking kedua dunia itu tahun ini.
Tahun lalu, Alcaraz menjadi pemain termuda yang mencapai No. 1 dalam sejarah ATP selepas memenangi kejuaraan di Terbuka AS.
Dia mencapai satu lagi markah pada pusingan ketiga di Indian Wells. Ketika itulah Alcaraz mencatat kemenangan perlawanan ke-100 dalam kariernya, pemain kedua terpantas di belakang John McEnroe untuk melakukannya.
Alcaraz juga menjadi orang pertama memenangi kejohanan itu tanpa kehilangan satu set sejak Roger Federer pada 2017 dan pemain termuda memenangi kejuaraan tersebut. – AP
