Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Alcaraz terus cemerlang

    PARIS, 13 SEPT – Kapten Piala Davis Sepanyol, Sergi Bruguera berkata, ‘tiada perkataan’ yang cukup untuk menggambarkan pencapaian Carlos Alcaraz, ketika pemain sensasi remaja itu bersedia untuk beraksi dalam fasa kumpulan minggu ini.

    Pasukan Bruguera akan menentang Serbia, Korea Selatan dan Kanada dalam Kumpulan B di Valencia, dengan dua pasukan teratas mara ke suku akhir pada November.

    Rafael Nadal tidak beraksi dalam acara itu, tetapi Alcaraz akan menjadi bintang tarikan di tanah air selepas menjadi pemain lelaki termuda nombor satu dunia dalam sejarah dengan kejayaannya di Terbuka AS hujung minggu lalu.

    Pemain berusia 19 tahun itu mengharungi tiga perlawanan lima set berturut-turut, menyelamatkan mata perlawanan menentang Jannik Sinner di suku akhir, sebelum menewaskan Casper Ruud dalam empat set dalam perlawanan akhir yang dramatik.

    “Kami semua tahu lambat-laun ia akan berlaku,” kata Bruguera mengenai gelaran Grand Slam sulung Alcaraz.

    Juara tenis perseorangan lelaki Terbuka AS,Carlos Alcaraz bergambar di Times Square, New York, baru-baru ini. – AP

    “Tetapi cara dia memenangi tiga perlawanan dalam lima set adalah usaha yang luar biasa dari segi mental dan juga fizikal.

    “Menjadi pemain nombor satu termuda di dunia, tiada perkataan untuk menggambarkannya.”

    Sepanyol akan bermain dalam perlawanan pertama mereka menentang Serbia, tanpa kehadiran juara utama 21 kali Novak Djokovic, pada Rabu.

    “Dia (Alcaraz) akan datang ke sini pada Selasa dan berharap dia boleh pulih tepat pada masanya untuk bermain,” tambah Bruguera.

    Alcaraz hanya membuat penampilan sulung Piala Davis dalam perlawanan kelayakan menentang Romania pada Mac, setelah diketepikan pada pusingan akhir tahun lalu apabila disah positif COVID.

    Alcaraz akan bekerjasama dengan Roberto Bautista Agut, Albert Ramos-Vinolas, Pedro Martinez dan Marcel Granollers untuk Sepanyol. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...