Alderweireld pilih Al-Duhail

LONDON, 28 JULAI – Toby Alderweireld telah meninggalkan Tottenham Hotspur untuk menyertai pasukan dari Qatar, Al-Duhail, kata kelab Liga Perdana Inggeris kelmarin.

Langkah itu nampaknya merupakan sebahagian daripada proses pembangunan semula kelab utara London itu, dengan pemain pertahanan Belgium, Alderweireld meninggalkan Spurs walaupun kontraknya masih tinggal dua tahun.

Difahamkan pemain berusia 32 tahun itu berminat untuk berpindah, dan laporan media Britain mengatakan dia telah bergabung dengan Al-Duhail dengan bayaran sekitar AS$18 juta.

Alderweireld tiba di Tottenham dari Atletico Madrid pada tahun 2015 dan terus membuat 236 penampilan untuk Spurs, menjadi permain yang tidak asing dalam pasukan yang mara ke final Liga Juara-Juara 2019, di mana mereka tewas 2-0 oleh saingan EPL, Liverpool, dan mencabar untuk menjuarai Liga Perdana.

“Kami telah mencapai kesepakatan dengan Al-Duhail SC di Qatar untuk perpindahan Toby Alderweireld,” menurut kenyataan Spurs. – AFP