BELGRADE, 10 Okt – Aleksandar Prijovic telah menjaringkan gol selepas diturunkan sebagai pemain gantian di separuh masa kedua bagi membantu Serbia dalam kemenangan 1-0 ke atas Georgia dan sekali gus memastikan satu tempat di Piala Dunia Rusia tahun depan.
Prijovic meledakkan gol kemenangan pada minit ke-74 di Begrade ketika Serbia menamatkan di kedudukan teratas Kumpulan D bagi kelayakan Eropah, dengan Ireland meraih slot play-off selepas menang 1-0 ke atas Wales di Cardiff.
“Saya fikir kami layak mendapatkannya, meskipun langkah terakhir menjadi yang paling sukar diharungi, tetapi kami berjaya,” kata jurulatih Slavoljub Muslin.
Prijovic berkata gol itu merupakan gol paling penting dalam kerjayanya.
“Ia adalah impian saya sejak kecil lagi untuk menjaringkan gol yang penting untuk negara,” kata Prijovic.
Selepas persembahan separuh masa pertama yang hambar, Serbia mendominasi separuh masa kedua, dua kali nyaris memecahkan kebuntuan, termasuk ketika percubaan Nemanja Matic dinafikan di atas garisan gol.
Serbia terlepas peluang untuk memuktamadkan kelayakan mereka ketika berbaki satu perlawanan minggu lepas apabila Louis Schaub meledakkan gol lewat bagi memberikan Austria kemenangan 3-2 di Vienna.
Tetapi mereka memanfaatkan peluang kedua mereka bagi menamatkan ketiadaan selama lapan tahun dari kejohanan terbesar bola sepak itu, kali terakhir mereka layak adalah pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. – AFP