Alex julang magis the reds

LIVERPOOL, 6 NOV – Liverpool semakin hampir layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara awal pagi tadi selepas jaringan Alex Oxlade-Chamberlain memberikan mereka kemenangan 2-1 mengatasi Genk seterusnya berada di tangga teratas Kumpulan E.

Oxlade-Chamberlain meledak jaringan kemenangan tujuh minit selepas rehat yang meletakkan juara Eropah itu di depan selepas tandukan deras pemain Genk, Mbwana Samatta menyamakan jaringan pembukaan Georginio Wijnaldum.

Bagaimanapun ia tidak begitu selesa seperti kemenangan 4-1 di Belgium sebelum ini kerana penyudah kurang berkesan yang membenarkan Genk, yang sudah tersingkir kembali mendapat rentak pada penamat.

“Kami tidak menyudahkan situasi seperti yang kami patut lakukan. Kami sudah memiliki peluang besar yang biasanya akan kami gunakan tetapi kali ini tidak. Itu yang membuatkan permainan terbuka,” kata jurulatih Jurgen Klopp kepada BT Sport.

“Jika anda hanya menjaringkan satu gol, dan mereka satu gol, ia bermakna banyak usaha dilakukan. Perlawanan baru bermula pada babak kedua, agak bagus … Tetapi perancangannya ialah menang perlawanan dan kami lakukannya, maka tugas selesai.”

Kemenangan itu meletakkan skuad kendalian Klopp satu mata di depan Napoli, yang hanya seri 1-1 berdepan pasukan tangga ketiga Salzburg, menjelang pertemuan antara kedua-duanya di Anfield bulan ini.

Liverpool juga lima mata di depan pasukan Austria itu dan akan layak berbaki satu perlawanan jika mereka mengetepikan skuad kendalian Carlo Ancelotti. – AFP

Alex meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya selepas membantu The Reds menjaringkan gol kedua pada perlawanan menentang Genk, kelmarin. – AP