‘Alexa, kepala saya sakit’

LONDON, 10 JULAI – “Alexa, apakah simptom-simptom demam?”

Kerajaan UK hari ini mengatakan rakyat Britain akan mendapat jawapan kepada persoalan di atas dan beberapa persoalan perubatan mudah daripada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) menggunakan speaker pintar Amazon, Alexa.

Kerjasama sistem kesihatan kerajaan dengan gergasi teknologi berpusat di AS itu mendapat pujian daripada para doktor yang terlebih kerja dan profesional yang bimbang mengenai nasihat perubatan tidak betul yang semakin berleluasa dalam talian.

Namun pekempen privasi menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan Amazon menyimpan data perubatan dan menggunakannya untuk menjual iklan sasaran.

“Teknologi seperti ini adalah satu contoh penting bagaimana orang ramai boleh mengakses nasihat boleh dipercayai, daripada perkhidmatan kesihatan utama NHS dengan selesa dari rumah mereka, mengurangkan tekanan ke atas para doktor dan ahli farmasi kami,” Setiausaha Kesihatan, Matt Hancock menjelaskan dalam satu kenyataan. Amazon mengatakan ia mengemaskinikan speaker pintarnya Echo untuk mencari di laman web NHS bagi jawapan perubatan bermula minggu ini.

Profesional kesihatan menyambut baik langkah kerajaan mengubah sikap pengguna dan peningkatan perkhidmatan suara.

“Walau bagaimanapun, penting untuk melakukan penyelidikan terlebih dahulu bagi memastikan nasihat yang diberikan adalah selamat,” kata Pengerusi Royal College, Helen Stokes-Lampard. – AFP

Gambar fail peranti pintar speaker Alexa dari Amazon dipamerkan di sebuah kedai di Hialeah, Florida. Agensi kesihatan Britain bergabung dengan Amazon untuk menyediakan jawapan kepada soalan perubatan mudah yang akan dijawab oleh Alexa. – AP