ALGIERS, 17 Jan – Algeria akan menyemak semula kos menunaikan haji berikutan cukai sebanyak lima peratus yang dikenakan Arab Saudi.
Menteri Hal Ehwal Agama dan Waqaf Algeria, Mohamed Aissa berkata, kos menunaikan haji yang kini dianggarkan berjumlah 510,000 dinar (kira-kira AS$4,460) seorang, dijangka meningkat sekurang-kurangnya 25,000 DZD.
Beliau berkata demikian, ketika membentangkan mengenai pengurusan bajet kementeriannya kepada Jawatankuasa Kewangan dan Belanjawan di Parlimen di sini, Isnin.
Kenaikan itu, disebabkan cukai dikenakan Arab Saudi ke atas jemaah haji dari semua negara Arab dan Islam.
Ia diperkenalkan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) buat kali pertama bermula 1 Januari lalu, dengan cukai lima peratus dikenakan terhadap kebanyakan barangan dan perkhidmatan.
Sementara itu, mengulas mengenai pendaftaran elektronik untuk undian memilih calon jemaah haji, ia akan bermula pada 10 Februari depan.
Beliau menambah pelaksanaannya akan dilaksanakan dengan cara terbaik bagi memastikan pendaftaran berjalan lancar. – Bernama