Algeria, Ivory Coast buru gelaran

YAOUNDE, 18 OGOS – Algeria akan bertemu Ivory Coast, satu-satunya pasukan yang gagal mereka kalahkan dalam kemenangan Piala Negara-Negara Afrika yang lalu, apabila Cameroon menjadi tuan rumah bagi edisi 2021 yang diadakan pada 9 Januari hingga 6 Februari 2022.

Kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 selepas masa tambahan dalam pusingan suku akhir dan pasukan Desert Foxes mara setelah memenangi perlawanan melalui penentuan penalti.

Perlawanan yang ditentukan menerusi sepakan penalti secara rasminya diklasifikasikan sebagai seri oleh FIFA dan itulah satu-satunya perlawanan daripada tujuh pertemuan
yang Algeria terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti untuk mara dan sekali gus menjulang kejuaraan.

Algeria dan Ivory Coast diundi dalam Kumpulan E bersama Sierra Leone dan Equatorial Guinea apabila undian dibuat di Yaounde kelmarin.

Ia akan menjadi satu kejutan sekiranya Algeria dan Ivory Coast gagal mengisi dua kedudukan teratas, memberi ruang pasukan lain untuk meneruskan perjuangan untuk kemungkinan layak sebagai salah sebuah daripada empat pasukan terbaik di tempat ketiga.

“Kami mempunyai kumpulan yang sangat bagus, mempunyai kualiti, sangat muda dan banyak cita-cita,” ujar bekas penyerang Ivory Coast, Didier Drogba memberitahu AFP selepas menyertai dalam undian. “Saya rasakan kami akan berada di antara kedudukan teratas.”

Meskipun menduduki ranking ketiga di benua tersebut bulan ini, berada di belakang Senegal dan Tunisia, Algeria membentuk sebuah pasukan yang berjaya mencipta rekod 27 perlawanan tanpa kalah sejak November 2018.

Cameroon, memburu kejuaraan Piala Negara-Negara Afrika keenam, berada dalam kumpulan A bersama Burkina Faso, yang akan bertemu mereka di perlawanan pembukaan di Yaounde, Ethiopia dan Cape Verde. – AFP

Didier Drogba mencabut undian bagi kejohanan Piala Negara-Negara Afrika yang bakal berlangsung tahun hadapan. – AFP