Algeria longgarkan sekatan pergerakan

ALGIERS, 24 APRIL – Presiden Algeria Abdelmadjid Tebboune pada Khamis mengarahkan kerajaan melonggarkan sekatan pergerakan secara bertahap, berikutan situasi COVID-19 yang bertambah baik, lapor agensi berita Xinhua.

Dalam ucapannya sempena menyambut Ramadan beliau berkata “Saya telah mengeluarkan arahan untuk mengkaji prosedur kuarantin selari dengan kemajuan situasi.”

“Semakin banyak petunjuk menunjukkan kemajuan di sana sini, semakin hampir untuk kita kembali kepada kehidupan seperti sediakala,” kata Tebboune.

Pada masa sama beliau terus menyeru rakyat untuk mematuhi garis panduan sekatan pergerakan bagi memastikan pandemik COVID-19 dapat ditangani secepat mungkin.

Sejurus itu, Perdana Menteri Abdelaziz Djerad mengumumkan sekatan pergerakan sepenuhnya di wilayah Blida ditarik balik mulai Jumaat. Sekatan pergerakan hanya dikuat kuasa mulai 2 petang hingga 7 pagi.

Kerajaan juga memutuskan untuk melonggarkan sekatan pergerakan sebahagian yang dikenakan di 10 wilayah lain termasuk Algiers. – Bernama