ALGIERS, 12 Feb – Pernah menjadi salah satu pembeli kereta terbesar Afrika, Algeria sedang melancarkan satu program bertujuan mengganti beratus ribu import asing dengan model yang dihasilkan di dalam negara untuk mengekal pemandu di jalan raya.
Menghadapi kemerosotan mendadak dalam harga minyak, sumber pendapatan utamanya, negara Afrika Utara telah melancarkan ‘model ekonomi baru’ yang berusaha mengurangkan kebergantungan pada jualan minyak mentah.
Salah satu cara yang diharap dapat mencapai perkara tersebut adalah dengan memajukan industri kereta domestik, yang telah diberikan insentif untuk menghasilkan lebih banyak model selepas kerajaan mengurangkan import.
Tatkala kebimbangan meningkat mengenai kesan Presiden AS Donald Trump ke atas perdagangan bebas global, tindakan Algeria ke arah pengeluaran dalam negara merupakan satu tanda fahaman perlindungan di negara.
Algeria pada tahun 2014 merupakan pasaran kereta kedua terbesar di Afrika dari segi jualan, dengan lebih daripada 400,000 kenderaan diimport setiap tahun, namun pada tahun lalu ia memotong lesen import kepada separuh.
Hasilnya, hanya 83,000 unit dibawa masuk, mewakili jualan bernilai kira-kira AS$1 bilion, satu kemerosotan mendadak daripada AS$7.6 bilion yang dibelanjakan oleh Algeria ke atas kereta luar negara pada 2012, angka daripada kementerian perdagangan menunjukkan.
Menurut ahli ekonomi Abdelatif Rebah, kebergantungan Algeria ke atas kereta asing telah menjadi ‘mapan dan berisiko untuk imbangan luar kami.’
“Dalam tempoh 15 tahun, Algeria mengimport lebih daripada empat juta kenderaan dengan harga AS$25 bilion, tidak mengira kos mengimport alat ganti,” beritahunya kepada AFP.
Menurut pejabat statistik negara, import kenderaan bertambah dua kali ganda di antara tahun 1995 dan 2015, tatkala ekonomi dan penduduk bertambah. – AFP