Ali Puteh lega dengan keputusan pembahagian harta

Pelawak Ali Puteh menerima keputusan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam yang menetapkan pembahagian harta peninggalan Allahyarham abangnya yang juga pelawak Abam Bocey mengikut hukum Islam.

Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 32, berkata, dia dan keluarganya tidak pernah menghalang proses faraid seperti yang didakwa segelintir pihak, malah sentiasa bersetuju pembahagian itu dilakukan dengan kaedah yang betul.

“Memang saya tahu, orang cakap saya dan keluarga cuba menghalang proses tersebut. Orang anggap saya yang salah.

“Sedangkan masa sidang media yang saya pernah adakan beberapa kali sebelum ini pun dah cakap memang semua kena faraid ikut hukum Islam. Sebab itu yang sepatutnya, ” ujarnya.

Menerusi laporan media baru-baru ini, balu kepada Abam Bocey iaitu Siti Nor Hidayah Mohd Ali berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam berhubung tuntutan faraid yang difailkannya pada 15 Julai lalu.

Ali Puteh turut menyatakan bahawa dia dan keluarganya tidak pernah menghalang proses faraid seperti yang didakwa segelintir pihak. – Agensi

Menurut Nor Hidayah, 28, mahkamah menetapkan pembahagian berdasarkan hukum syarak melibatkan rumah, kereta serta barang peribadi peninggalan arwah suaminya.

Kata Nor Hidayah, meskipun ibu mentuanya iaitu Sabariah Arshad tidak hadir pada prosiding yang berlangsung namun wanita itu akan tetap menerima bahagiannya mengikut hukum Islam.

Dalam pada itu, Ali berkata, dia tidak dapat menghantar ibunya menghadiri prosiding itu disebabkan perlu membawa isteri yang kini sarat mengandung menjalani pemeriksaan doktor.

“Alhamdulillah… bagi saya, itu yang terbaik. Baguslah, harta peninggalan Abam memang perlu difaraidkan.

“Saya tak datang sebab bawa isteri buat pemeriksaan doktor, dia dah nak bersalin. Ibu saya pula berkerusi roda, macam mana nak datang sendiri, ” kata Ali.– Agensi