Ali yakin kemampuan Masdo

Vokalis kugiran Masdo, Ali Sariah, menegaskan tidak mengamalkan petua khusus bagi menghadapi Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-34 yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, 9 Februari depan.

Menurut penyanyi itu, dia kini cuma mengamalkan pengambilan madu setiap hari, supaya vokalnya tidak terjejas pada malam pertandingan nanti.

Sedar dengan segelintir pihak telah mempertikaikan pemilihan mereka ke peringkat akhir acara cukup berprestij itu, dia justeru menjanjikan persembahan terbaik bagi menepis segala keraguan terhadap kemampuan kumpulan terbabit.

“Sebenarnya, saya sudah biasa berdepan dengan kritikan terhadap vokal saya. Selama ini pun, saya tidak pernah mengatakan suara saya sedap. Saya tahu vokal saya biasa sahaja. Kebetulan, pada malam separuh akhir Muzik-Muzik 34 yang lalu, tekak saya bermasalah.

“Namun, saya tekad untuk meneruskan persembahan kerana tidak suka memberikan alasan. Lagipun, bukan mudah untuk kami berada pada tahap ini. Jadi, apabila rezeki memihak kepada kami, takkanlah Masdo hendak menolak?” kata Ali.

Kumpulan Masdo tidak meletakkan harapan besar sebagai pemenang di pentas akhir AJL. – Agensi

Sebagai kumpulan yang bergerak sendiri, tanpa diwakili mana-mana syarikat rakaman, Ali berkata persiapan menghadapi AJL dibahagikan sama rata.

Namun begitu katanya, ia memberikan sedikit tekanan berikutan semua perkara harus dilakukan sendiri, termasuk mengeluarkan modal bagi menyediakan ‘prop’.

“Dalam membuat persiapan, kami mempunyai pasukan khas yang menguruskan perkara seperti penyediaan ‘prop’ dan sebagainya kerana kami tidak mahu mengganggu tumpuan ahli kumpulan.”

“Dari segi persediaan Masdo sendiri, alhamdulillah, susunan muzik untuk final sudah siap. Kini, kami hanya menunggu masa sesuai untuk berlatih bersama pemuzik undangan,” katanya.

Ujar Ali, mereka tidak meletakkan harapan besar untuk menaiki pentas sebagai pemenang pada pertandingan itu kerana masing-masing tidak pun menyangka Masdo mampu melangkah ke peringkat akhir.

“Begitupun, memandangkan ia pengalaman pertama untuk kumpulan ini beraksi pada anugerah itu, kami ada mendapatkan nasihat daripada pemuzik berpengalaman supaya muzik Masdo kedengaran lebih bagus apabila dipersembahkan di sebuah pentas gah dan besar seperti AJL,” katanya. – Agensi