Aliando Syarief hidap OCD ekstrem

Pelakon Aliando Syarief mendedahkan dia mengalami gangguan mental yang dikenali sebagai kecelaruan obsesif kompulsif atau obsessive compulsive disorder (OCD) yang serius sehingga mengganggu aktiviti hariannya.

Disebabkan itu juga berat badannya turun dan pelakon sinetron Ganteng-Ganteng Serigala ini lebih selesa menghabiskan masa di rumah.

“Kesan OCD ini membuatkan saya kurus. Saya jadi susah makan dan bergerak.

“Nafsu makan tidak ada. Terlalu stress, kecewa dan tertekan. Semua perkara saya fikirkan negatif.

“Apabila ada OCD yang ekstrem, boleh berimaginasi perkara yang aneh.

“Syukur saya masih diberi kekuatan mental. Saya akan terus lawan dan harus bersyukur apa yang telah dilalui,” kongsi Aliando yang turut membintangi sinetron popular Keajaiban Cinta.

Setelah menjalani beberapa sesi rawatan, Aliando memberitahu keadaan dirinya kini semakin baik dan bersedia untuk kembali berlakon.

“Sudah setahun menjalani terapi dan sekarang keadaan lebih baik. Makanya boleh berkongsi di laman Instagram.

“Ini menunjukkan perkembangan saya boleh berkarya kembali,” jelasnya. – Agensi

Aliando memberitahu pernah mengalami OCD ketika di bangku sekolah. – Agensi