Alibaba lancar Malaysia Finals create@contest

KUALA LUMPUR, 13 OKT – Syarikat e-dagang global, Alibaba Group Holding Ltd, melancarkan Malaysia Finals, Pertandingan Syarikat Pemula Niaga Create Alibaba Cloud (Create@Contest) pertama.

Ketua penyelarasnya, Kim Tan berkata pertandingan itu menawarkan peluang bagi syarikat pemula niaga teknologi tinggi Malaysia berhubung dengan rangkaian utama pemodal teroka, pemimpin perniagaan dan ekosistem Kumpulan Alibaba.

Pemenang juga akan menerima tajaan lawatan ke ibu pejabat Kumpulan Alibaba di Hangzhou dan memperoleh pendedahan media antarabangsa, selain memenangi sumber bernilai AS$50,000, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemenang Malaysia Finals akan mewakili negara pada kejohanan global dengan syarikat pemula niaga akan bersaing dengan pemain teknologi terkemuka lain di seluruh dunia.

“Pemenang juga dapat memanfaatkan Pusat Inovasi Alibaba, di mana mereka boleh menggunakan sumber ekologi untuk pembangunan perusahaan yang disediakan oleh pengkomputeran awan Alibaba, untuk mengembangkan perusahaan kecil dan sederhana dalam ekonomi digital,” katanya. – Bernama