Alibaba lantik CFO baharu

HONG KONG, 6 DIS – Kumpulan e-dagang terbesar China, Alibaba hari ini melantik ketua pegawai kewangan (CFO) baharu dan merombak semula struktur e-dagangnya di tengah-tengah peraturan ketat dalam industri teknologi.

Syarikat itu dalam kenyataan dikeluarkan hari ini mengatakan, Toby Xu akan menggantikan Maggie Wu sebagai CFO baharunya bermula 1 April 2022. Xu menyertai Alibaba dari PricewaterhouseCoopers tiga tahun lalu dan dilantik timbalan CFO kumpulan dalam Julai 2019.

Wu yang juga sudah pun memegang jawatan CFO Alibaba sejak 2013 dan membantu tiga anak syarikat Alibaba dalam penyenaraian di bursa saham, akan terus berkhidmat sebagai pengarah eksekutif dalam Lembaga Alibaba.

Dia juga akan kekal sebagai rakan kongsi dalam Alibaba Partnership – sebuah kumpulan eksekutif kanan yang mempunyai hak untuk mencalonkan majoriti ahli lembaga pengarah Alibaba. – AP

Gambar fail logo Alibaba kelihatan di luar sebuah bangunan di Beijing. Kumpulan e-dagang China itu hari ini mengumumkan CFO baharu dan menstrukturkan semula syarikatnya selepas peraturan ketat industri teknologi China. – AP