BEIJING, 4 OGOS – Syarikat gergasi e-dagang China, Alibaba melaporkan pertumbuhan pendapatan yang mendatar hari ini buat pertama kalinya, ketika negara itu bergelut dengan kelembapan ekonomi dan kebangkitan semula COVID-19 yang membuatkan pengguna resah.
Prestasi Alibaba dilihat secara meluas sebagai pengukur sentimen pengguna China, memandangkan penguasaannya dalam pasaran dan pertumbuhan pendapatannya telah perlahan dengan ketara sepanjang tahun lalu.
Pendapatannya pada suku April-Jun telah menyumbang sebanyak AS$30.7 bilion, mengatasi jangkaan penganalisis walaupun meleset sedikit daripada tempoh yang sama tahun lepas, susulan penurunan dalam pendapatan segmen perdagangan syarikat China, kata Alibaba.
Syarikat itu telah bergelut dengan persaingan semakin meningkat dan kejatuhan ekonomi daripada sekatan ketat COVID yang telah menjejaskan sentimen pengguna, mendorong kadar pengangguran tinggi dan rantaian bekalan yang terjejas.
“Susulan perniagaan April dan Mei agak perlahan, kami melihat tanda-tanda pemulihan di seluruh perniagaan kami pada bulan Jun,” kata pengerusi dan ketua eksekutif Kumpulan Alibaba, Daniel Zhang dalam satu kenyataan. – AFP