Alibaba perkenalkan kilang digital pembuatan baharu

HANGZHOU, CHINA, 17 SEPT – Alibaba Group Holding Limited hari ini memperkenalkan model Pembuatan Baharu mereka buat kali pertama dengan pembukaan Kilang Digital Xunxi (“Xunxi”).

Dikuasakan oleh infrastruktur pengkomputeran awan dan loT Alibaba, kilang yang berpusat di Hangzhou itu menawarkan kepada PKS dengan satu rantaian bekalan pembuatan akhir-ke-akhir digital yang membolehkan untuk pengeluaran yang disesuaikan sepenuhnya dan dipacu oleh permintaan.

Ini memberikan perniagaan dan pengeluar yang lebih kecil terutamanya dengan keupayaan untuk mendapatkan faedah daripada digitalisasi pasaran pembuatan China yang bernilai lebih RMB30 trilion (lebih AS$4 trilion) yang dapat bertindak balas dengan lebih baik dan pantas terhadap perubahan keperluan pelanggan.

“Data adalah teras bagi Pembuatan Baharu dan memanfaatkan wawasan data adalah kunci untuk meraih peluang-peluang baharu di dalam peralihan keutamaan pengguna untuk barang yang diperibadikan dan bukannya yang dihasilkan secara besar-besaran.

Pembuatan Baharu mengubah pengeluar tradisional dengan kecerdasan dan teknologi yang dipacu oleh data untuk bergerak ke arah satu model pengeluaran yang lebih tangkas berdasarkan kepada permintaan tepat masa,” kata Alain Wu, Ketua Pegawai Eksekutif bagi Xunxi Digital Technology Company, Kumpulan Alibaba.

“Ini sekali gus membolehkan pengeluar tradisional untuk meningkatkan keuntungan dan mengurangkan tahap inventori dan pada masa yang sama masih dapat memenuhi keperluan personalisasi ini.” – Bernama