Alibaba sasar IPO terbesar

HONG KONG, 20 NOV – Gergasi runcit dalam talian China, Alibaba hari ini mengatakan ia boleh mendapatkan hampir AS$13 bilion dalam saham terbitan awam (IPO) terbesar di Hong Kong dalam masa hampir sedekad selepas mengumumkan harga sahamnya bagi jualan mega.

Syarikat terbesar Asia itu menggelar penyenaraian awam berbilion dolar itu sebagai undi yakin dalam pasaran bandar raya itu meskipun ia dibelenggu protes ganas selama berbulan-bulan dan perang perdagangan AS-China yang mengakibatkan kemelesetan ekonominya.

Menurut kenyataan Alibaba, ia menetapkan harga setiap saham pada HK$176 yang merupakan di bawah petunjuk siling HK$188 diumumkan minggu lalu.

Dengan 500 juta saham ditawarkan kepada pelabur, syarikat itu akan memperoleh HK$88 bilion (AS$11 bilion). Lapan merupakan nombor bertuah dalam tilikan kekayaan di China.

Jika ia memilih untuk menggunakan opsyen lebihan peruntukannya untuk menjual sejumlah 75 juta saham lagi, firma itu boleh meraih sehingga HK$101.2 bilion (AS$12.9 bilion).

Meskipun pada tahap rendah, penyenaraian itu masih menjadi terbitan saham awam terbesar Hong Kong yang pernah ditawarkan semenjak gergasi insurans AIA memperoleh AS$20.5 bilion dalam tahun 2010. – AFP

Gambar fail 2016 menunjukkan seorang wanita menunggang motosikal melepas logo syarikat di luar ibu pejabat Kumpulan Alibaba di Hangzhou, timur wilauah Zhejiang, China. Gergasi runcit dalam talian itu memperoleh AS$13 bilion dalam terbitan saham awamnya (IPO) di Hong Kong, kelmarin. – AP