Alibaba suntik AS$1.1 bilion dalam Tokopedia Indonesia

JAKARTA, 18 Ogos – Jutawan China Jack Ma menerusi syarikatnya Alibaba Group mengembangkan sayap perniagaannya di Indonesia dengan menyuntik pelaburan sebanyak US$1.1 bilon untuk memiliki saham syarikat  dalam talian popular di Indonesia, Tokopedia.

Media-media dalam talian memetik Ketua Eksekutif Tokopedia, William Tanuwijaya sebagai berkata, pihaknya mengesahkan pelaburan syarikat dari China itu.

“Hari ini kami menyambut baik Alibaba sebagai salah satu pemegang saham di Tokopedia dan kami percaya bahawa perkongsian ini akan mempercepat misi kami dalam menggerakkan keserataan ekonomi secara digital,” katanya.

Beliau berkata Alibaba Group yang sebelum ini dianggap sebagai guru mereka menjadi pemegang saham minoriti.

Beliau berkata selain itu, Tokopedia akan menggunakan suntikan dana itu untuk mengembangkan perniagaan dengan membangunkan sebuah pusat kajian terbesar di Asia Tenggara.

William Tanuwijaya menyampaikan ucapan pada satu acara di Jakarta tahun lalu.
William Tanuwijaya menyampaikan ucapan pada satu acara di Jakarta tahun lalu.

Tokopedia yang tubuhkan lapan tahun lepas adalah antara syarikat yang menguasai pasaran perniagaan dalam talian di negara yang mempunyai hampir 300 juta penduduk itu.

Suntikan pelaburan itu membolehkan syarikat berkenaan mempunyai rakan kongsi di peringkat antarabangsa dan memperluaskan pasarannya ke tahap global.

Menurut laporan pada 2016, rakyat Indonesia membelanjakan sebanyak US$5.3 bilion bagi membeli barangan menerusi dalam talian.

Pada April 2016, Alibaba telah membeli majoriti saham Lazada yang sekarang berkembang sebagai pusat perbelanjaan dalam talian paling popular di rantau Asia Tenggara. – Bernama