Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Alibaba tingkatkan pembelian balik saham AS$25 bilion

    BEIJING, 22 MAC – Kumpulan Alibaba, syarikat e-dagangan terbesar dunia, meningkatkan pembelian balik saham kepada AS$25 bilion daripada AS$15 bilion hari ini untuk menaikkan semula harga saham yang jatuh lebih daripada separuh sejak pihak kerajaan mengetatkan kawalan ke atas industri teknologi dengan pelaksanaan undang-undang keras.

    Peningkatan itu adalah ‘petanda keyakinan terhadap perkembangan berterusan syarikat,” menurut kenyataan Alibaba. Syarikat berkata ia telah membayar AS$9.2 bilion setakat ini dalam pembelian balik yang diumumkan sebelum ini.

    Saham dagangan di Amerika Syarikat milik Alibaba menurun 56 peratus, menyebabkan kerugian ratusan bilion dolar dalam nilai pasaran saham, sejak parti pemerintah China melancarkan tindakan keras antipersaingan dan keselamatan data pada 2019.

    Alibaba telah dikenakan saman dan kemunculan pertama dalam pasaran saham yang dirancang oleh Kumpulan Ant, syarikat kewangan dalam talian yang dipisahkan daripada Alibaba, ditunda.

    Saham dagangan Alibaba di Hong Kong didagangkan 4.8 peratus lebih tinggi hari ini.

    Pemimpin China minggu lalu cuba menghalang kemerosotan pasaran saham dengan menjanjikan sokongan kepada syarikat teknologi namun tidak memberikan butiran mengenai inisiatif yang mungkin diberikan.

    Parti pemerintah meluahkan kebimbangan mengenai gergasi teknologi sektor swasta seperti Alibaba dan Tencent Holding yang terlalu bebas dan berkemungkinan menggunakan dominasi pasaran mereka untuk menumpaskan saingan dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

    Sebelum ini Alibaba melaporkan keuntungan bagi suku akhir 2021 yang menurun 74 peratus daripada tahun sebelumnya kepada 20.4 bilion yuan (AS$3.2 bilion). Hasil syarikat tersebut meningkat 10 peratus kepada 242.6 bilion yuan (AS$38 bilion). – AP

    Seorang pemandu skuter melintasi ibu pejabat Kumpulan Alibaba di Hangzhou, China. Kumpulan Alibaba meningkatkan pembelian balik saham kepada AS$25 bilion untuk meningkatkan harga saham yang jatuh. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...