Jika tahun sebelumnya penyanyi, pelakon dan pengacara, Alif Satar, memperlahankan kerjaya seni sepanjang Ramadan, namun tidak tahun ini.
Alif berkata, dia perlu bekerja keras dengan memenuhi tanggungjawab sebagai pelakon sepanjang Ramadan ini.
“Selama tujuh, lapan tahun saya tidak bekerja pada Ramadan. Selalunya apabila tiba Ramadan, saya akan buat majlis makan amal seperti menyanyikan beberapa lagu untuk mengutip sumbangan.
“Ketika Ramadan saya buat program sedemikian, selain banyak meluangkan masa bersama keluarga kerana tiada penggambaran.
“Namun, saya rasa kena kerja keras sedikit, dua tahun kebelakangan ini. Bukan sahaja untuk saya, tetapi keluarga dan pasukan saya yang semakin membesar.
“Anak sudah tiga orang, jadi saya perlu memilih secara strategik, kerja mana yang perlu diambil,” katanya.
Sepanjang Ramadan, Alif turut menjayakan penggambaran drama Risik Pada Hati bersama Ummi Nazeera dan Zara Zya untuk slot drama Akasia di TV3. Menurut Alif, ia adalah sebuah drama air mata yang membuatkannya teruja untuk menjayakan.
Sementara itu, Alif bersyukur kerjasama bersama kumpulan nasyid unggul, Raihan menerima sambutan memberangsangkan.
Alif berkata, dia berharap lagu yang dinyanyikan bersama kumpulannya, The Locos dan Raihan itu boleh menjadi saham akhirat untuknya apabila sudah tiada nanti.
“Saya berharap apabila sudah tiada, orang akan dengar lagu versi Alif Satar & The Locos bersama Raihan ini. Sedikit sebanyak ia akan menjadi saham untuk akhirat.
“Saya bersyukur kerana sebelum lagu keluar, stesen radio sudah memainkan lagu Bismillah. Jadi, saya berharap kolaborasi ini tidak hanya menjadi rutin pada bulan puasa sahaja, sebaliknya menjadi siri yang berpanjangan.
“Mungkin selepas ini saya nak kena ajar anggota Raihan berlakon pula,” katanya yang merancang sesuatu yang besar bersama Raihan.
Pada 2019, Alif pernah merakamkan Sesungguhnya 2019 dan Damba Cintamu pada tahun seterusnya. – Agensi