Alif Satar tampil dengan single raya

Jika sebelum ini penyanyi Alif Satar hanya menghasilkan karya istimewa untuk bulan Ramadan menerusi kolaboratif bersama kumpulan nasyid Raihan, kali ini menampilkan kelainan dengan sebuah single raya berjudul Lagu Raya.

Menurut Alif, 31, meski sekali lagi bakal meraikan Aidilfitri dalam suasana normal baharu, penghasilan lagu-lagu raya diharapkan dapat mencetuskan kemeriahan dengan cara tersendiri.

Itu juga yang ingin disampaikan menerusi Lagu Raya ciptaan Alif dan kumpulan muziknya, The Locos bersama Panji Sakti yang bercerita tentang keinginan ramai orang untuk balik kampung meraikan hari raya.

“Lagu ini bercerita tentang keinginan untuk balik kampung meraikan hari raya dan kami bawa mesej kerinduan itu bagi menghiburkan hati semua warga kota yang tidak dapat pulang ke kampung.

“Ia bukan untuk menyinggung perasaan mereka di saat larangan rentas negeri masih berkuat kuasa, sebaliknya kami hasilkan Lagu Raya ini dengan elemen positif dan mesej yang jelas tanpa lirik meleret-leret.

Alif Satar menampilkan kelainan dengan sebuah single raya berjudul Lagu Raya. – Agensi

“Bersesuaian dengan melodinya yang segar dan mesra untuk didengar,” ujarnya yang berharap lagu tersebut menjadi evergreen sebagaimana lagu raya lain.

Alif yang ditemui pada majlis pelancaran video muzik Lagu Raya Alif Satar and The Locos serta Menu Raya Pasta Panas dan Nas Gor Panas baru-baru ini mengakui turut memahami perasaan mereka yang rindukan suasana beraya di kampung halaman masing-masing.

“Walaupun ibu bapa menetap di Kuala Lumpur, tetapi saya sedih tidak dapat pulang beraya bersama datuk nenek serta saudara mara saya di Pulau Pinang sebagaimana kebiasaannya.

“Begitu juga bila tengok sepupu dan saudara mara lain yang tinggal berdekatan, tetapi berlainan negeri seperti di Kulim, Kedah dan Butterworth, Pulau Pinang tidak dapat jumpa, apatah lagi beraya kerana situasi kita sekarang.

“Jadi, sama-sama kita berdoa dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan agar pandemik Covid-19 segera berakhir dan masing-masing dapat hidup seperti biasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Alif yang juga pengacara baharu Muzik-Muzik 36, berkata, apa pun situasinya, dia tetap bersyukur dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga.

“Alhamdulillah saya bersyukur dan teruja dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga. Pengalaman pertama beraya dalam situasi normal baharu pada tahun lalu sangat bermakna buat kami sekeluarga.

“Raya tahun lalu, kami tidak keluar ke mana-mana dan hanya beraya dengan keluarga sepenuhnya di rumah bagi mematuhi SOP yang ditetapkan. – Agensi