Pelakon, Alif Satar seakan bermimpi apabila ditawarkan watak wira negara yang terkorban ketika bertugas di Somalia menerusi filem Bakara.
Filem terbitan Tentera Darat Malaysia (TDM) itu memaparkan peristiwa pertempuran membabitkan anggota tentera Malaysia di Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia pada tahun 1993.
Alif berkata, buat pertama kali membawakan watak tentera bernama Prebet Aznan yang terbabit dalam misi dan pertempuran dalam filem arahan Adrian Teh.
Selain Alif, filem Bakara menelan kos kira-kira RM20 juta itu turut dibintangi Bront Palarae, Shaheizy Sam, Remy Ishak, Hairul Azreen dan Fauzi Nawawi.
“Naskhah ini ada kaitan dengan filem terbitan Hollywood berjudul Black Hawk Down. Cuma, bezanya filem Bakara mengambil sudut pandangan tentera Malaysia yang terbabit dalam peristiwa bersejarah, manakala Black Hawk Down memaparkan pertempuran membabitkan tentera Amerika Syarikat.

“Saya sangka mereka pilih saya kerana pernah terbabit dalam sukan ekstrem, Ironman ketika ditawarkan watak ini. Namun, akhirnya saya tahu kenapa dipilih.
“Saya terharu kerana dikatakan mempunyai persamaan dari segi fizikal. Watak Prebet Aznan memerlukan saya bermain dengan emosi,” katanya kepada media.
Alif atau nama sebenarnya, Muhammad Alif Mohd Satar itu berkata, berdasarkan maklumat yang diceritakan oleh anggota keselamatan yang terbabit dalam misi berkenaan, Aznan terkorban tanpa sempat melihat anaknya yang masih dalam kandungan.
“Mungkin dari situ, mereka melihat saya mampu membawakan watak yang menyayat hati ini.
“Sebagai persediaan, saya sedaya upaya mendapatkan maklumat mengenai Aznan sebanyak mungkin, selain menjalani latihan ketenteraan.
“Saya dimaklumkan, anak Aznan kini seorang anggota tentera. Mungkin jika nak tanya mengenai arwah bapanya, dia sendiri pun tak pernah berjumpa. Jadi, saya akan mendapatkan maklumat terperinci mengenai arwah menerusi pasukan tentera yang bertempur bersamanya,” katanya.
Lebih menarik, katanya, dia juga menjalani latihan senjata yang digunakan pada tahun itu, selain belajar berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat yang sama digunakan. – Agensi