Aliff sertai program realiti GV8

Meraih markah tertinggi pada konsert mingguan pertama musim kelapan program realiti, Gegar Vaganza (GV8), malam kelmarin, ada suara-suara mula mempertikaikan penyertaan penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz, 30, dalam pertandingan itu.

Semuanya kerana sejak beberapa bulan lalu, dilaporkan Aliff yang selama ini sering terkait dengan kontroversi dan aksi nakal, mula berubah dan mendalami ilmu agama dengan menyertai kumpulan tabligh.

Mendapatkan reaksi Aliff, dia menjelaskan niat menyertai program itu bukanlah mahu mendekatkan diri dengan perkara melalaikan, sebaliknya, mencari rezeki untuk keluarga.

“Bukan hendak kata saya pandai atau apa, tapi apabila soal kerja, saya selalu doa supaya Allah dekatkan perkara yang baik dan jauhkan benda tidak baik. Pada masa sama, ini adalah satu pekerjaan dan niat saya adalah untuk mencari nafkah. Jadi apa yang saya buat ini adalah untuk mencari rezeki untuk keluarga saya. Selagi kita boleh kawal, insya-Allah kita boleh nampak apa yang sesuai dan tidak kena.

“Apapun, saya harap semua pihak boleh doakan yang terbaik buat saya dan semua peserta GV8 ini… Insya-Allah,” katanya.

Aliff mendapat sokongan isterinya, Bella Astillah dalam setiap perkara dilakukan. – Agensi

Aliff menyertai GV8 bersama 12 peserta lain antaranya Adibah Noor, Aweera, Azan (Scan), Datuk Fazley Yaakob, Shidee, Bandi Amuk, Suki, Nikki dan Ani Mayuni. Berkongsi lanjut mengenai pembabitannya dalam GV8, Aliff berkata, dia mula didatangi tawaran menyertai program realiti itu sejak dua tahun lalu.

“Ketika itu, saya mungkin sedang melalui fasa kehidupan yang agak kurang baik, kekangan masa dan sebagainya. Alhamdulillah, tahun ini, penganjur dengan baik hatinya tawar lagi peluang dan saya fikir kali ini saya bersedia.

“Saya pun ada di Malaysia. Jadi, saya anggap ini sebagai suatu peluang untuk kembali ke pentas dan timba pengalaman,” katanya.

Aliff berkata, GV adalah satu platform yang sangat besar. “Semua orang sedia maklum mengenainya. Kita yang sudah lama berehat, diberi peluang untuk kembali beraksi di atas pentas dan membuat persembahan menghiburkan penonton.

“Pada masa sama kita dapat lepaskan gian membuat persembahan,” katanya. Biarpun GV8 pentas pertandingan, Aliff menyifatkan penyertaannya lebih kepada menimba pengalaman dan lebih fokus kepada membaiki persembahannya dari masa ke semasa, berbanding memikirkan soal persaingan dengan penyanyi ‘senior’ lain. – Agensi