Aliff Syukri mohon maaf, henti cari kesalahannya

Usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri tampil menjelaskan perkara sebenar berhubung kontroversi penutup hidung dan mulut yang dijualnya bocor baru-baru ini.

Menurut Aliff, dia tidak menyangka topeng itu akan bocor memandangkan ia hanya percubaan sahaja dan bukan untuk dijual seperti didakwa warganet.

Bagaimanapun, Aliff memohon maaf jika tindakannya itu menimbulkan salah faham dalam kalangan warganet dan berharap orang ramai berhenti mencari kesalahannya.

“Saya ingin memohon maaf sekiranya video yang saya buat sebelum ini (mask bocor) disalah erti seolah-olah menipu pelanggan yang sudah memakai mask tersebut.

“Sebenarnya saya berjanji, demi Allah mask tersebut tak dijual. Mask baru sampai dari kilang, saya mahu mencuba dan lihat respons pre-order. Tak jual satu pun.

Aliff dikecam tidak menggunakan produk sendiri. – Agensi

“Saya hanya ingin mencuba, tak sangka bocor. Saya memang prihatin keselamatan pengguna saya. Kita masih buat uji kaji lagi.

“Saya memohon kepada masyarakat semua untuk menghentikan mencari kesalahan saya. Saya juga hanya insan biasa dan lemah,” katanya.

Sebelum ini, tular rakaman video siaran langsung Aliff menunjukkan demonstrasi dengan mencurahkan air ke penutup hidung dan mulut yang dijualnya di Instagram.

Aliff berkata, topeng muka tersebut mampu menahan serapan air namun sebaliknya berlaku apabila air yang dicurah menitis tidak seperti diperkatakan.

Menerusi laporan mStar pada Ahad lalu, pendakwa bebas Wan Dazrin menegur Aliff kerana bersikap tidak jujur semasa menjalankan perniagaan produk tersebut.

Kata Wan Dazrin, Aliff telah melakukan penipuan secara terang-terangan serta menyifatkan tindakan ahli perniagaan itu sebagai satu dosa besar dan haram dalam Islam.

Dalam pada itu, belum reda lagi kontroversi tersebut kini timbul pula isu lain apabila Aliff sekali lagi didakwa menipu semasa membuat promosi produk kurus di Instagramlive.

Menerusi rakaman yang menjadi tular di laman Twitter, dia didakwa tidak meletakkan bahan minuman tersebut di dalam cawannya kerana sachet tersebut diikat dengan getah.

“Datuk Aliff buat hal lagi. Acah-acah letak dalam cawan tapi sachet ikat dengan getah. Cuba perhatikan,” kata warganet yang memuat naik video tersebut di Twitter miliknya.

Rata-rata warganet mempertikaikan tindakan Aliff ingin menjual produk sendiri namun tidak berani menggunakannya. – Agensi