Alishaa menang pertandingan mewarna online

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Dayang Alishaa Zahraa Ian Geoffrey Steward, lapan tahun, memenangi hadiah utama Pertandingan Mewarna dalam Talian anjuran Selcouth Events sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam baru-baru ini.

Dayang Alishaa memenangi hadiah utama berupa kupon sesi melukis (akrilik) bersama salah seorang pelukis tempatan, Dayang Ainansalsabeela, kit mewarna serta sijil. Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Dayang Fareisya Dania binti Haji Mohd Bukhari, sembilan tahun, dan Dayang Zahra Naqibah binti Mohd Fadzil, tujuh tahun yang memenangi kit mewarna dan sijil.

Penyampaian hadiah disampaikan oleh pengasas Selcouth Events, Dayang Ummi Kalthum binti Awang Razali yang turut menjelaskan bahawa pertandingan itu dibukakan kepada pelukis cilik berusia enam sehingga 10 tahun bagi mengasah bakat mewarna peserta.

“Selain itu, ia juga adalah untuk kanak-kanak mengenali dan mengingat Baginda Sultan dan tarikh hari keputeraan Baginda, selain mendedahkan mereka dengan adat pertandingan pada usia muda lagi,” tambahnya.

Dayang Ummi Kalthum menyampaikan hadiah utama kepada Dayang Alishaa Zahraa.