Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Ogos – Dayang Nur Alissa Camila binti Artenis dari Sekolah Rendah (SR) Sinaut dan Lim Pei Xuan dari Sekolah St Andrews masing-masing memenangi Pertandingan Sahibba dan Scrabble dalam Pertandingan Permainan Sahibba dan Scrabble Sekolah-sekolah Rendah dan Menengah Senegara Tahun 2018 peringkat akhir yang berlangsung di Dewan Bedudun, Sekolah Rendah Beribi, Telanai hari ini. Manakala tempat kedua bagi pertandingan Sahibba dimenangi oleh Awang Mohd Fakhruddin bin Kepli dari SR Bekiau dan Dayang Norazrieta binti Pukul dari SR Panchor dan Dayang Nur Aleeya Arisha binti Razali dari SR Lumut berkongsi tempat ketiga.
Bagi Pertandingan Scrabble pula, Jona Kong Zong Na dari Sekolah St Angela di tempat kedua dan Dayang Huda Natasha Zulkhairi dari Sekolah Menengah (SM) Sayyidina Husain dan Soo Jun Shan dari SM Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar berkongsi tempat ketiga.
Hadir menyaksikan dan seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Penolong Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Haji Eady Sardi bin Pehin Datu Dermasakti Dato Paduka Haji Abdul Razak.
Kedua-dua pertandingan yang julung kali dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum melalui Unit Akli itu bertujuan meningkatkan kosa kata Bahasa Melayu, penguasaan dan pengembangan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar sekolah rendah manakala Scrabble pula dihasratkan meningkatkan kosa kata dan kemahiran mengeja dalam Bahasa Inggeris. Ia juga bertujuan menguji kemahiran dan kepintaran pelajar membina perkataan khususnya pelajar Tahun 5 dan 9.

