Allahyarham Datuk Dr Wan Ismail selamat dikebumikan

KUALA LUMPUR, 10 DIS –  Allahyarham Datuk Dr Wan Ismail Wan Mahmud, ayah kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang kira-kira pukul 11:15 pagi ini.

Allahyarham yang berusia 93 tahun meninggal dunia di kediamannya di Taman Ampang Utama, Ampang pada pukul 2:30 pagi ini kerana sakit tua. Terdahulu, jenazah dimandikan, dikafankan dan disolatkan di Masjid Al-Mustakim, Ampang di sini.

Allahyarham Wan Ismail berkhidmat dengan Jabatan Penerangan Malaysia (1970-1982) dan dipinjamkan ke Majlis Keselamatan Negara sebagai Pengarah Komunikasi Strategik (1983-1993).   Beliau meninggalkan isteri Datin Mariah Khamis, 85, empat anak perempuan termasuk Dr Wan Azizah dan seorang anak lelaki.

Lebih 500 orang turut hadir di tanah perkuburan berkenaan bagi menziarahi jenazah semasa pengebumiannya termasuk Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir turut menziarahi Allahyarham di Masjid Al-Mustakim. – Bernama

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyiram air mawar di pusara bapanya Dr Wan Ismail Wan Mahmud, 93, di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana kelmarin. – Bernama