Allardyce dipecat

LONDON, 16 Mei – Selepas enam bulan mengemudi, Sam Allardyce hari ini dipecat sebagai pengurus Everton walaupun berjaya membimbing kelab daripada bahaya penyingkiran sehingga menduduki tangga kelapan, menurut pengumuman kelab itu.

Bekas pengurus England berusia 63 tahun itu dikritik penyokong mengenai satu gaya permainan dan khabar angin turut tersebar bahawa bekas bintang England dan Manchester United Wayne Rooney akan berpindah sekiranya Allardyce masih dikekalkan di sana.

“Kami telah memutuskan, sebagai rancangan jangka masa panjang, kami akan melantik pengurus baharu musim panas ini,” kata pengarah kelab Denise Barrett-Baxendale.

“Bagi pihak pengerusi, lembaga pengarah dan Moshiri, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Sam atas usaha yang dilakukannya terhadap Everton selama lebih tujuh bulan.

Gambar fail bertarikh 13 Mei 2018 menunjukkan Allardyce (kiri) ketika berjabat tangan bersama pengendali West Ham, David Moyes ketika pertemuan antara Everton dan West Ham di Stadium London. – AP

“Sam telah dibawa masuk ketika waktu yang mencabar musim lalu untuk memberikan kami kestabilan dan kami sangat berterima kasih ke atasnya.”

Bekas pengendali Hull City dan Watford, Marco Silva yang mana kontraknya masih berbaki selama setahun, dipercayai akan menjadi pengganti Allardyce.

Silva, 40 tahun, menjadi pilihan pertama pemilik kelab Farhad Moshiri setelah dia memecat Ronald Koeman dari Belanda selepas permulaan buruk dalam kempen itu.

Namun, usaha mereka telah gagal dan hanya membawa Watford terjatuh dan membawa kepada pemecatan Silva pada Januari dengan Watford memetik ‘pendekatan tidak wajar oleh saingan Liga Perdana.’ – AFP