TURIN, 27 Sept – Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri menegaskan bahawa dia ‘tidak mempunyai masalah’ dengan Gonzalo Higuain meskipun adanya kesamaran sama ada penyerang Argentina itu akan bermain dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Olympiakos pagi Khamis ini.
Higuain tidak diturunkan dalam kemenangan 4-0 Juve dalam aksi Serie A ke atas Torino hujung minggu lepas, setelah hanya menjaringkan dua gol dalam lima perlawanan pertama musim ini.
Tetapi Allegri berkata jika penyerang berusia 29 tahun itu tidak bermain, ia tidak bermakna kerana dia tidak puas hati dengan persembahan penyerang itu.
“Saya akan membuat keputusan selepas latihan esok (hari ini) sama ada untuk menurunkan Gonzalo atau tidak, ia bukan satu masalah jika dia tidak bermain, ia adalah masalah jika dia tidak bermain untuk Juventus,” kata Allegri di satu sidang media.
“Saya masih belum membuat keputusan siapa akan menjadi empat penyerang, tetapi saya ulangi bahawa Higuain bukan satu masalah.” – AFP