Allegri tinggalkan Juve

ROM, 17 Mei – Massimiliano Allegri akan meninggalkan juara Serie A, Juventus akhir musim ini selepas menerajui kelab itu bagi lima gelaran Itali berturut-turut, umum kelab itu hari ini.

“Massimiliano Allegri tidak akan berada di bangku Juventus bagi musim 2019/2020,” umum kelab itu dalam satu perkembangan mengejut.

Allegri, 51, telah mengadakan pertemuan dengan hierarki kelab awal minggu ini, di mana satu percanggahan antara kedua pihak mula timbul.

Dia menolak beberapa laporan mengenai dirinya akan dipecat Sabtu lalu dengan menambah bahawa dia sudah membuat perancangan bagi masa depan pasukan itu dalam tempoh enam bulan.

Juve sudah melengkapkan rekod gelaran kelapan berturut-turut, dan yang kelima buat Allegri dalam beberapa tahun dan dia juga menjulang Coppa Italia sebanyak empat kali sejak menggantikan Antoino Conte pada 2014.

Massimiliano Allegri ketika menyaksikan pasukannya menentang Ajax pada 10 April 2019. – AP

Bekas pemain tengah kelab itu Conte, bersama dengan bos Perancis Didier Deschamps, finalis Liga Juara-Juara Mauricio Pochettino dari Tottenham dan pengendali Lazio, Simone Inzaghi telah dikaitkan untuk menggantikan tempat Allegri dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Nama Allegri pula menjadi tumpuan dalam senarai pilihan untuk menjadi jurulatih di Inter Milan dan Chelsea meskipun kedua-dua kelab itu sudah mempunyai pengendali masing-masing.

Meskipun dengan penandatanganan Cristiano Ronaldo dari Real Madrid musim panas lepas, Juve masih gagal untuk melepasi suku akhir kejohanan elit bola sepak Eropah itu buat dua musim berturut-turut. – AFP