MILAN, 10 Mei – Masa depan jurulatih Juventus Massimiliano Allegri (gambar bawah) menjadi perhatian apabila juara bertahan itu membuat kunjungan ke Roma bagi perlawanan Serie A Ahad ini dengan pelbagai spekulasi timbul membabitkan kedudukannya.
Juventus sudah mengesahkan gelaran kali kelapan berturut-turut musim ini dan juga yang kelima buat Allegri sejak mengambil alih tugas berkenaan daripada Antonio Conte pada 2014.
Jurulatih berusia 51 tahun itu berkata beliau akan kekal sekali pun terkeluar daripada pusingan suku akhir Liga Juara-Juara kepada Ajax yang menimbulkan kritikan terhadap corak pengurusannya selepas ketibaan penyerang bintang Cristiano Ronaldo.
Selain gagal untuk menamatkan kemarau selama dua dekad di pentas elit Eropah itu, Juventus turut tersisih dalam pemburuan kejuaraan Piala Itali kepada Atalanta musim ini.
Tiga perlawanan terakhir Serie A musim ini memberikan tempoh buat skuad bimbingan Allegri itu untuk membuat penilaian keseluruhan dengan satu perjumpaan bersama presiden kelab, Andrea Agnelli dilaporkan akan berlangsung.
“Kami akan duduk berbincang bersama kelab dan memikirkan tentang masa depan, analisa persembahan musim ini dan merancang apa yang boleh dilakukan dengan lebih baik serta mahu pasukan bersedia mensasarkan kejayaan dalam semua kejohanan pada musim hadapan,” kata Allegri.
Bekas jurulatih AC Milan dan Cagliari itu masih mempunyai baki setahun dalam kontraknya dengan pendapatan tahunan sebanyak 7.5 juta euro.
Paris Saint-Germain, dilaporkan berminat terhadap Allegri, sementara Antonio Conte dikaitkan akan kembali ke Turin di mana beliau memenangi tiga gelaran pertamanya.
Juventus akan berkunjung ke Roma selepas seri dalam dua perlawanan terdahulu sejak mengesahkan kejuaraan liga – seri 1-1 dengan Inter Milan dan juga Torino. – AFP