Alli dijangka kembali beraksi

LONDON, 11 Sept – Pengendali skuad England, Gareth Southgate menjangkakan Dele Alli kembali cergas bagi menghadapi pertemuan Tottenham menentang Liverpool hujung minggu ini selepas pemain midfield itu terpaksa menarik diri daripada berdepan Switzerland.

Alli mendapat cedera ketika saingan Liga Negara yang menyaksikan England tewas di tangan Sepanyol Sabtu lalu dan terpaksa diketepikan daripada terlibat perlawanan persahabatan menentang Switzerland di Leicester, hari ini.

Southgate melepaskan kebimbangannya mengenai ketiadaan Alli dalam tempoh yang lama, menegaskan pemain berusia 22 tahun itu akan kembali cergas dalam sedikit masa lagi untuk beraksi bagi Tottenham menentang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool.

“Dia hanya berdepan kecederaan kecil dan bakal kembali cergas buat kelabnya hujung minggu ini, namun perlawanan esok (hari ini) datang begitu cepat sekali,” kata Southgate kepada pemberita, semalam.

Southgate akan membuat perubahan ketika menentang Switzerland dan mencari pemain yang mempunyai potensi untuk beraksi dalam rancangan jangka masa panjang daripada berasa bimbang terhadap keputusan perlawanan persahabatan yang tidak memberi makna.

Pemain seperti Ruben Loftus-Cheek, Fabian Delph, Danny Rose dan Danny Welbeck menjadi muka baharu dalam skuad kendaliannya bersama penjaga gol, Jack Butland.

“Saya selesa bersama skuad saya. Fokus akan datang kepada saya dan saya tidak bimbang

mengenainya. Saya akan membuat keputusan yang boleh menambahkan rekod kemenangan saya,” kata Southgate. – AFP