Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Okt – Allianz Rhys T. Pena berjaya menambat hati hakim dengan persembahannya yang menyeronokkan pada perlawanan akhir Pertandingan Mari Bercerita Best Eastern, yang diadakan di Kompleks Membeli-belah Times Square, Berakas, kelmarin.
Pertandingan dengan tema ‘Saya Terjumpa Kucing Bercakap di Sekolah Hari Ini’ telah menyaksikan seramai 15 orang finalis, yang berumur antara 6 hingga 11 tahun berebut gelaran juara pada pertandingan itu.
Juara dari Sekolah Antarabangsa Seri Mulia Sarjana itu, yang turut menyambut ulang tahun kelahirannya kelmarin, telah membawa pulang hadiah utama berupa piala, pingat emas, sijil, baucar membeli-belah Best Eastern dan beg berjenama Kipling bernilai $289.
Beliau turut dilantik sebagai duta kanak-kanak Best Eastern yang pertama bagi mewakili syarikat berkenaan.
Sementara itu, di tempat kedua jatuh kepada Dayang Nur Adaniy Haziqah binti Haji Mohammad Yussof dari Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, yang memenangi pingat perak, sijil, baucar membeli-belah Best Eastern bernilai $150 dan baucar membeli-belah Kipling bernilai $150. Manakala, Ashville Ariel Petrus dari Sekolah St Andrew mendapat tempat ketiga, menerima pingat gangsa, sijil, baucar membeli-belah Best Eastern dan Kipling bernilai $50.

Selain itu, 12 finalis lainnya turut menerima hadiah sagu hati berupa baucar membeli-belah Best Eastern dan juga hadiah.
Menurut Pengurus Operasi Best Eastern, Yolly Celeridad berkata, mereka sudah lama merancang untuk menganjurkan pertandingan berkenaan dan akhirnya pada tahun ini mereka berjaya melaksanakannya.
Beliau berkata, kejayaan penganjuran kali pertama ini, pihaknya akan menjadikannya sebagai acara tahunan dan akan akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Pihaknya turut menyampaikan penghargaan kepada para penaja iaitu The Coffee Bean and Tea Leaf, Kofom Textile, Times Square dan Kipling.
Pada perlawanan akhir tersebut, para finalis adalah dimestikan untuk membuat cerita mereka sendiri berdasarkan tema yang diberikan dan cerita harus disampaikan dalam tempoh masa lima minit.