Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) menyambut juruterbang belon udara panas yang terkenal, Allie Dunnington, yang mendaratkan belonnya di kampus sekolah berkenaan sebagai sebahagian daripada perjalanan untuk memecahkan rekod dunia bagi negara terbanyak yang diterbangi menggunakan sebuah belon udara panas.
Itu akan menjadikan Allie sebagai orang pertama yang menerbangkan belon udara panas di Brunei Darussalam. Beliau berasal dari Bristol, UK, kini memegang rekod bagi negara terbanyak yang diterbangi menggunakan sebuah belon udara panas oleh seorang wanita, yang mana beliau telah terbang di 118 negara sebelum Brunei.
JIS dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini, turut menjelaskan, Allie kini berusaha untuk mengatasi rekod global sebanyak 127 negara, yang telah ditetapkan oleh mendiang suaminya dan perhentian di JIS itu menandakan dan mewakili satu lagi pencapaian penting dalam misinya.
Allie telah menyiapkan belon udara panasnya di kampus JIS sebelum meluncur ke udara dan melayang di atas padang V Block.
Ahli komuniti JIS dijemput untuk menyaksikan acara itu dan mempelajari lebih lanjut tentang proses dalam mengendalikan belon udara panas.
Penerbangan belon tersebut, dari satu sudut padang ke sisi Osprey Boarding House, menandakan langkah pertama memasukan Brunei ke senarai negara yang dikunjungi.
Penerbangan itu juga menekan-kan misi Allie untuk menggalakkan lebih ramai wanita menceburi bidang belon udara dan penerbangan.
Mengimbas kembali pengalamannya hampir 20 tahun dalam bidang ini, Allie berkongsi, “Apabila saya mula-mula menceburi bidang belon udara, saya perhatikan betapa sedikitnya wanita dalam bidang ini. Itulah sebabnya saya menganjurkan acara dan peluang seperti ini untuk menggalakkan lebih ramai wanita mengambil bahagian”.
Beliau turut berkongsi pengalaman di Brunei, “setiap langkah adalah sorotan dan ianya merupakan perasan yang mendebarkan, tetapi ketekunan akan membuahkan hasil.
Tiada penerbangan yang pernah sama dan pertemuan yang dialami apabila mendarat menjadikannya sangat berbaloi”.