KUALA LUMPUR, 17 APRIL – Anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd (TNB), Allo Technology Sdn Bhd (Allo) dinobatkan sebagai Syarikat Telekomunikasi Jalur Lebar Terbaik Malaysia pada Anugerah Telekom Asia 2022 yang diadakan secara maya pada Mac lepas.
Syarikat itu berkata, anugerah tersebut merupakan pengiktirafan kepada usaha responsifnya dalam merapatkan jurang digital di negara ini.
Allo menyediakan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi yang menyokong inisiatif Jalinan Digital Nasional (Jendela) dengan merapatkan jurang digital dan menyasar untuk mempunyai 7.5 juta pas premis optik gentian menjelang hujung tahun ini.
Ia juga menyediakan kesaling-hubungan jalur lebar pada kadar berpatutan, sekali gus membuka peluang kepada golongan yang kurang mendapat perkhidmatan dalam komuniti di kawasan pinggir bandar dan luar bandar.
“Dengan memanfaatkan rangkaian optik gentian TNB di Semenanjung Malaysia, Allo juga bekerjasama rapat dengan pelbagai Penyedia Perkhidmatan Runcit (RSP) untuk menyediakan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) pada kadar yang lebih pantas dan harga berpatutan di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohamed Ghous Ahmad dalam satu kenyataan.
Beliau berkata usaha itu akan merapatkan jurang digital dan memperkasakan rakyat di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan menerusi pelbagai aspek seperti pembangunan ekonomi digital, pendidikan dan pembangunan komuniti. – Bernama