Almera turbo masuk brunei

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Boustead Sdn Bhd selaku pengedar kereta Nissan di Negara Brunei Darussalam, membuat kejutan apabila secara tiba-tiba sahaja memperkenalkan segmen sedan, Nissan Almera Turbo ke dalam pasaran negara ini.

Majlis perasmiannya telah diadakan di Automagination Services, Perindustrian Lambak Kanan, hari ini, dan disempurnakan oleh Pengurus Eksekutif Boustead Sdn Bhd, Lim Jin Lee.

Nissan Almera Turbo generasi kedua ini tampil dengan rekaan luaran yang jauh lebih menarik berbanding model terdahulu dengan bahagian hadapannya diserlahkan dengan reka bentuk baharu Nissan, gril V-motion.

Dengan dimensi 4,495mm x 1,740 mm x 1,460mm dan jarak roda 20mm lebih panjang berbanding Almera lama, sedan ini layak untuk dikelompokkan ke dalam model Eco Car Phase II.

Nissan membekalkan Almera dengan enjin tiga silinder turbo bersesaran 1.0 liter Turbo yang mampu menjana kuasa 100PS dan tork 152Nm yang dipadankan dengan CVT Xtronic dan D-Step Logic Control.

Nissan Almera Turbocharge yang diperkenalkan ke pasaran Brunei malam tadi. – Gambar oleh Bahyiah Bakir

Almera baharu ini tersedia dalam dua model iaitu Nissan Almera Turbo S bagi spesifikasi tinggi dan Nissan Almera Turbo sebagai spesifikasi standard.

Bagi Nissan Almera Turbo S, bahagian dalamannya lebih menarik dengan penggunaan meter Optitron, skrin paparan maklumat bersaiz 7 inci, sistem kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin dan sistem pendingin hawa automatik.

Papan pemuka pula dilengkapi dengan skrin sesentuh lebih besar (8 inci) yang menyokong ciri Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem bunyi itu kemudian dilengkapi dengan enam unit pembesar suara.

Dari segi keselamatan, Almera Turbo S dilengkapi dua beg udara, ABS, EBD, BA, VDC, Bantuan Mula Mendaki dan cagak ISOFIX, Around View Monitoring, Moving Object Detection, Front Collision Warning, Front Emergency Brake dan banyak lagi.

Kedua-dua model tersedia dalam warna Radiant Red, Monarch Orange, Black Star, Storm White, Gun Metallic, dan Brilliant Silver.

Terdahulu, majlis didahului dengan taklimat mengenai kereta Nissan Almera Turbo sebelum perasmian kereta terbaharu berkenaan.

Boustead Sdn Bhd juga mengalu-alukan orang ramai untuk mengunjungi Bilik Pameran Nissan untuk menyaksikan sendiri kereta baharu berkenaan, di samping berpeluang menerima hadiah-hadiah menarik.