Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Kemenangan besar pasukan Almerez FC ke atas pasukan Shah United dengan jaringan 7-2 terus merancakkan lagi persaingan kejohanan Liga Futsal Brunei (BFL) 2023 sekali gus mengukuhkan kedudukan pasukan itu di tangga ketiga dibelakang pasukan Kasuka Ar-Rawda dan MS ABDB.
Selepas melalui lapan perlawanan, pasukan Almerez FC terus mantap de-ngan kejayaan mengutip 19 mata hasil daripada enam kemenangan, sekali seri dan sekali tewas.
“Kegigihan semua pemain dalam menjalani latihan dengan memberikan komitmen sepenuhnya telah memberi impak yang sangat positif kepada pasukan sepanjang persaingan BFL ini. Sekalipun pemain-pemain berupaya mengadaptasikan rentak permainan yang diberikan jurulatih, memang ada lagi aspek yang perlu ditajamkan untuk mengukuhkan lagi pasukan ini,” jelas Ketua Jurulatih Almerez FC, Haji Mohammad Azim bin Haji Zakaria selepas menyaksikan kejayaan pasukannya menawan pasukan Shah United.
Beliau yakin dengan komitmen yang penuh dan kesungguhan setiap pemain akan membawa pasukan Almerez FC untuk terus dapat mengorak langkah lebih jauh pada BFL 2023 ini.
Kemenangan ke atas pasukan Shah United akan menyuntik semangat semua pemain untuk berusaha lebih gigih bagi memperbaiki kedudukan. Sementara itu, Penolong Pengurus Pasukan Street United, Rashidi Hatnan turut berpuas hati menyaksikan pasukannya berjaya mencipta kemenangan sulung selepas menewaskan pasukan DDT FT 2-1.
“Mutu persembahan yang ditun-jukkan pemain semakin berkesan. Mereka telah menjalani persiapan dengan usaha keras dalam memperbaiki kelemahan di samping melakukan beberapa perubahan dari aspek taktikal permainan,” jelasnya.
Beliau berharap pemain-pemain akan terus komited dalam memperbaiki persembahan sekali gus untuk memperbaiki kedudukan dalam BFL 2023 yang semakin hampir kepenghujung pusingan pertama.
