Almerez juara Kejohanan Futsal Four Corner

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Almerez Futsal Academy muncul juara Kejohanan Futsal Four Corner yang diadakan baru-baru ini di Kompleks Sukan Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Almerez berjaya mengumpul tujuh mata selepas tiga perlawanan untuk menduduki tempat teratas kumpulan, manakala naib juara disandang oleh Kasuka FC dengan mengumpul enam mata, tempat ketiga dimenangi oleh Shah United FC dengan meraih empat mata dan keempat BIBD SRC.

Perlawanan pembukaan menyaksikan Almerez menang 3-0 ke atas Kasuka menerusi jaringan Ajim, Izzan dan Syazwan.

Pada perlawanan berasingan, Shah United mengalahkan BIBD SRC 1-0 menerusi jaringan tunggal oleh Fardi.

Keputusan seri 2-2 antara Almerez dan Shah United memberi harapan kepada Kasuka untuk mara ke perlawanan akhir. Dua jaringan oleh Siraj memberikan Kasuka tiga mata yang sangat diperlukan ketika menentang BIBD.

Sesi bergambar ramai bersama pasukan yang memenangi Kejohanan Futsal Four Corner.

Namun, kemenangan 4-0 Almerez menewaskan BIBD mengesahkan kemenangan mereka yang mana masing-masing dijaringkan oleh Muajam, Ajiq, Gnol dan Radhi.

Kasuka naik ke tempat kedua setelah menang 2-1 ke atas Shah United, yang turun ke tangga ketiga sementara BIBD kekal di tangga keempat.

Sementara itu, Awangku Mohd Amirul Haziq dari Almerez Futsal Academy dinobatkan sebagai pemain terbaik manakala rakan sepasukannya Iman Zul Hakim dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik. Tiga pemain lain Haji Fardy daripada Shah United, Muajam daripada Almerez dan Siraj daripada Kasuka – menjaringkan gol terbanyak.

Kelab-kelab futsal sedang dalam persiapan untuk musim domestik yang akan datang dengan liga kebangsaan dijadualkan diadakan pada bulan Jun depan.

Kelab yang berdaftar perlu melalui peringkat kelayakan untuk menempah tempat di liga. Peringkat kelayakan dijangka diadakan selama dua minggu.

Liga futsal kebangsaan terakhir diadakan pada tahun 2017 yang dimenangi oleh Kuantan Rangers, pasukan jemputan dari Malaysia.