Almy Nadia, Fizz Fairuz timang anak keempat

Isteri kepada pelakon Datuk Fizz Fairuz iaitu Datin Almy Nadia selamat melahirkan cahaya mata keempat mereka pada pukul 3:49 pagi, 8 Disember.

Berita gembira itu dikongsi Fizz menerusi media sosial dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan proses bersalin isterinya.

Menurut Fizz atau nama sebenarnya, Fairuz Zainal Abidin, 40, anak keempatnya itu dilahirkan secara normal dengan berat 2.76 kilogram di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah isteri saya selamat bersalin, terima kasih kepada semua yang mendoakan.

“4-0 keputusan sekarang,” tulisnya dalam laman sosial Instagram.

Bagaimanapun, sehingga kini Fizz masih belum berkongsi jantina anak damit tersebut kepada umum.

Almy Nadia selamat melahirkan cahaya mata keempat pagi 8 Disember 2021. – Agensi

“Sebenarnya, memang kami berdua sengaja tidak ‘scan’ jantina anak keempat ini kerana mahukan kejutan. Kami mahu merasai kembali perasaan teruja seperti mendapat anak pertama dahulu.

“Selepas dapat nama, saya akan kongsi kepada semua,” tambah Fizz.

Sementara itu, Almy meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada suaminya yang berada di sisi sepanjang kelahiran anak mereka.

Almy yang juga seorang pelakon berkata, suaminya setia menemani di bilik bersalin walaupun dalam keadaan mengantuk sambil mengurut kaki.

“Terima kasih sayang sebab berada dengan mama sepanjang kelahiran anak nombor empat, daripada masuk sampailah selesai beranak, sayang tetap ada di sisi mama.

“Terima kasih sebab teman mama dalam bilik bersalin, sambil urut kaki sampai tutup mata dengan pelitup muka sebab mengantuk,” ujarnya.

Perkongsian pasangan itu mendapat perhatian warganet dan rakan artis yang rata-ratanya mengucapkan tahniah.

Sebelum ini, Almy pernah mengalami dua kali keguguran dalam tempoh beberapa bulan pada pertengahan 2020.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2014 dan memiliki tiga cahaya mata lain iaitu Nur Afrina Arianna, 6, Nur Afrina Aurora, 4, dan Nur Afrina Ayra, 3 tahun. – Agensi